Darjah Utama Pangkuan Negeri (D.U.P.N.)
Darjah kebesaran ini adalah darjah yang tertinggi di Pulau Pinang. Ianya telah dizahirkan pada tahun 1967 dan dikurniakan kepada orang perseorangan yang telah berbuat jasa yang amat cemerlang kepada Negeri Pulau Pinang. Mereka yang dikurniakan darjah ini mempunyai kedudukan yang terulung serta berpengaruh. Darjah ini membawa gelaran Dato’ Seri Utama dan isteri penerima digelar Datin Seri. Kurniaan ini dihadkan kepada lima belas (15) orang yang masih hidup, tidak termasuk bukan warganegara Malaysia yang boleh dikurniakan anugerah ini secara kehormat. Darjah kebesaran ini mengandungi kalung, bintang, selepang dan lencana darjah.
Darjah Panglima Pangkuan Negeri (D.P.P.N.)
Darjah kebesaran ini dizahirkan pada tahun 2003 dan dikurniakan kepada orang perseorangan yang berjasa kepada Negeri ini khasnya dan Negara amnya dan mempunyai kedudukan tinggi dan dihormati. Mereka yang dikurniakan darjah ini digelar Dato’ Seri dan isteri penerima digelar Datin Seri. Kurniaan ini dihadkan kepada tiga puluh lima (35) orang yang masih hidup, tidak termasuk bukan warganegara Malaysia yang boleh dikurniakan anugerah ini secara kehormat. Darjah Kebesaran ini mengandungi kalung, bintang, selepang dan lencana darjah.
Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (D.G.P.N.)
Darjah kebesaran ini dizahirkan pada tahun 1996 dan dikurniakan kepada orang perseorangan yang menyumbang perkhidmatan yang cemerlang serta mempunyai taraf kedudukan yang tertinggi. Mereka yang dikurniakan darjah ini digelar Dato’ Seri dan isteri penerima digelar Datin Seri. Kurniaan ini dihadkan kepada seratus tujuh puluh (170) orang yang masih hidup, tidak termasuk bukan warganegara Malaysia yang boleh dikurniakan anugerah ini secara kehormat. Darjah kebesaran ini mengandungi kalung, bintang, selepang dan lencana darjah.
Darjah Mulia Pangkuan Negeri (D.M.P.N.)
Darjah kebesaran ini dizahirkan pada tahun 1967 dan dikurniakan kepada orang perseorangan yang menyumbang perkhidmatan yang cemerlang serta mempunyai taraf kedudukan yang tertinggi. Mereka yang dikurniakan darjah ini digelar Dato’ dan isterinya Datin. Kurniaan ini dihadkan kepada dua ratus sepuluh (210) orang yang masih hidup, tidak termasuk bukan warganegara Malaysia yang boleh dikurniakan anugerah ini secara kehormat. Darjah kebesaran ini mengandungi bintang, selepang dan lencana darjah.
Darjah Setia Pangkuan Negeri (D.S.P.N.)
Darjah kebesaran ini dizahirkan pada tahun 1976 dan dikurniakan kepada orang perseorangan yang menyumbang perkhidmatan yang istimewa serta mempunyai kedudukan yang tinggi. Mereka yang dikurniakan darjah ini digelar Dato’ dan isterinya Datin. Kurniaan ini dihadkan kepada seribu empat ratus (1400) orang yang masih hidup, tidak termasuk bukan warganegara Malaysia yang boleh dikurniakan anugerah ini secara kehormat. Darjah kebesaran ini mengandungi bintang, selepang dan lencana darjah.